Jalan Petaling

Jalan Petaling atau lebih dikenali dengan nama Petaling Street merupakan pusat jualan warga Cina (Chinatown) Kuala Lumpur yang banyak mengekalkan suasana tradisinya terutama sekali di waktu malam apabila para penjaja menebarkan barang-barang jualan mereka untuk dijual di sepanjang jalan tersebut.

Walaupun pelbagai jenis barangan boleh didapati di sini, dari batu permata dan kemenyan hinggakan barang-barang permainan dan kemeja-T, tarikan sebenar pasar malam ini ialah pengalaman menjamu mata dan telinga serta suasana kesibukan yang meriah di sini. Pelawat tidak akan kekurangan pilihan makanan di sini kerana terdapat pelbagai jenis sajian ditawarkan dan terdapat restoran-restoran yang telah beroperasi beberapa generasi lamanya. Warga tempatan berkunjung beramai-ramai ke Jalan Petaling khasnya untuk membeli pelbagai aksesori murah serta menikmati makanan di sini.
Oleh itu, cubalah! Tuju ke Jalan Petaling dengan perut yang kosong dan hati yang terbuka. Walaupun anda tidak membelanjakan sesen pun (satu perkara yang sukar di sini!), anda pasti menimba pengalaman yang menarik.

Di hujung Jalan Petaling terdapat sebuah tokong bernama Chan See Shu Yuen yang dibina sekitar tahun 1906 yang boleh anda lawati. Bahagian dalam tokong ini mempunyai sebuah kawasan halaman yang terbuka dan memaparkan lukisan serta ukiran yang indah dan halus. Arca-arca tembikar disusun di bahagian luar tokong. Manakala di bahagian dinding luar dan bumbung tokong terdapat ukiran yang halus dan menarik.

Bagi pelancong yang mencari pengalaman yang lebih menarik lagi, terdapat Kuil India Selatan yang dinamakan Sri Maha Mariamman tidak jauh dari Jalan Petaling. Kuil ini terletak di Jalan Tun H.S.Lee, hanya beberapa minit perjalanan dari Jalan Petaling. Kuil yang dibina pada tahun 1873, dikatakan merupakan kuil Hindu yang paling cantik dan dihias indah jika dibandingkan dengan kuil yang ada di seluruh negara. Unsur rekabentuk dan arca yang menghiasi kuil ini termasuk ukiran dewa-dewa Hindu, hiasan emas, batu permata dan corak-corak yang dilukis tangan. Jubin dari Itali dan Sepanyol juga menyerlahkan lagi hiasan di sini. Sebuah kereta kuda bersalut perak yang disimpan di dalam kuil ini seringkali digunakan sewaktu perarakan keagamaan untuk membawa arca dewa berarak di jalan raya di ibukota.

Di luar Kuil Sri Maha Mariamman terdapat gerai-gerai menjual kalungan bunga jasmin yang harum baunya. Bau ini berbaur dengan bau yang dibawa angin dari kedai-kedai di seberang jalan termasuk bau ubat herba tradisional Cina dan air kopi.


Tips
Jika mahu, anda boleh melawat kuil dan tokong tersebut yang dibuka pada siang hari. Tetapi masa terbaik untuk mencuba makanan dan membeli-belah di sini adalah pada waktu malam.


Pengangkutan
Berjalan, Teksi
Jalan Petaling terletak bertentangan kompleks membeli belah Kotaraya dan Pasar Seni.

Lrt
Stesen Pasar Seni bagi laluan PUTRA LRT terletak di permulaan Jalan Petaling.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Kuala Lumpur di talian : +603-2615 8188
Talian Infoline Pelancongan : 1-300-88-5776
0 Responses

Post a Comment