Jalan Tuanku Abdul Rahman

Jalan Tuanku Abdul Rahman pada suatu masa dahulu merupakan kawasan membeli-belah utama di Kuala Lumpur, sebelum wujudnya kompleks-kompleks membeli-belah moden yang ada sekarang.

Sepanjang jalan ini diapit deretan bangunan kedai dengan rekabentuknya yang berlainan yang terbina sebelum Perang Dunia dan telah dipulihara dan diubahsuai menjadi kedai yang moden.

Walaupun banyak syarikat telah keluar dari kawasan ini untuk ke tempat yang baru, pelbagai jenama terkenal seperti GS Gill, P. Lal dan PH Henry masih terdapat di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kedai-kedai yang kekal di sini menawarkan pelbagai pilihan kain, barangan kulit yang diimport, beg dan bagasi, permaidani, peralatan sukan dan pakaian musim sejuk.

Lorong-lorong sempit di antara deretan kedai di sini dipenuhi gerai-gerai yang menawarkan pelbagai jenis kain yang beraneka corak dan warna pada harga murah yang sukar dilepaskan.

Kedai-kedai lain yang juga telah lama bertapak di sini menjual koleksi barangan perak dan kristal. Kompleks membeli-belah yang moden - Sogo dan Maju Junction Mall - juga terletak berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pada setiap hari Sabtu dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam, Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup dan bertukar menjadi sebuah pasar malam di mana para penjaja kecil menjual pelbagai jenis barangan menarik dari gerai terbuka mereka.



Tips
Kawasan yang dikenali sebagai 'Little India' juga terletak selari dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan mempunyai suasana sebuah bazar India yang tulen. Ianya juga terletak hanya 10 minit berjalan kaki ke Chinatown, membolehkan anda melawat kedua-dua kawasan ini pada hari yang sama.


Pengangkutan
LRT Putra
Stesen Bandaraya di laluan keretapi STAR terletak di Jalan Raja Laut yang selari dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Anda juga boleh turun di Masjid Jamek (bagi kedua-dua laluan STAR dan PUTRA LRT), dan susuri sebatang jalan kecil yang menuju ke 'Little India' dan pintas menyeberangi lorong yang menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Teksi
Lokasi yang paling sibuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman terletak di antara Jalan Tun Perak (Dataran Merdeka) dan Jalan Sultan Ismail. Tempat paling mudah untuk diturunkan ialah pusat membeli-belah Sogo.


Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Kuala Lumpur di talian : +603-2615 8188
Talian Infoline Pelancongan : 1-300-88-5776
0 Responses

Post a Comment